BESUT, 10 Jun - Keluarga Allahyarham Fakhrul Arif Rosdi, 20 tahun, salah seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik malam semalam lega apabila semua urusan jenazah selesai dengan lancar, pagi tadi.
Bapa mangsa Rosdi Yunus, 56 tahun berkata, dia bersyukur kerana urusan pengebumian anak keempat daripada lima adik beradik itu dapat dilaksanakan di Tanah Perkuburan Islam Pasir Akar, Jertih, Besut, sejurus solat jenazah yang diadakan di Masjid Hadhari, Jertih.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada rakan taulan yang telah memberi kerjasama, wang serta meluangkan masa untuk hadir sejak semalam," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pasir Akar, Jerteh.
Menurut Rosdi, jenazah Fakhrul Arif dibawa dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh pada pukul 8 malam dan tiba di Masjid Hadhari, Jerteh Besut kira-kira pukul 3 pagi sebelum dikebumikan menjelang Subuh.
Tambah Rosdi, solat jenazah diadakan di Masjid Hadhari kerana lokasi itu menjadi tempat pertemuan terakhir beliau bersama arwah ketika dia masih hidup dan di situlah juga segalanya berakhir.
Mengimbas kenangan terakhir bersama arwah, Rosdi berkata dia sempat menitipkan pesan kepada anaknya supaya menjaga diri selain membekalkan makanan dan ubat ubatan memandangkan ketika itu arwah sedang demam.
Arwah juga menunjukkan perubahan sikap yang menyentuh hati ketika pulang beraya pada Aidiladha yang lalu.
"Biasanya anak laki ni dia manja dengan ibu, tetapi bila dia balik kali ini dia lebih rapat dengan saya. 2 hari sebelum balik dia minta itu dan ini, jadi saya pun berasa pelik," ujarnya.