fb fb fb fb fb

Malaysia pertahan kedaulatan di Mahkamah Agung Perancis

FOTO FB Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR, 18 September- Malaysia terus menegaskan kedaulatannya dan melindungi kepentingan negara, apabila tampil di hadapan Cour de Cassation, Mahkamah Agung Perancis pada Selasa dalam pertarungan undang-undang yang berterusan menentang kumpulan yang mengaku sebagai waris Kesultanan Sulu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said yang hadir pada prosiding itu, berkata Mahkamah Agung itu mendengar cabaran yang dikemukakan oleh Kumpulan Sulu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada 6 Jun 2023.

Pada tahun lepas, Mahkamah Rayuan Paris menolak pengiktirafan di Perancis terhadap anugerah separa yang dikeluarkan oleh Dr. Gonzalo Stampa setelah mendapati beliau telah mempertahankan bidang kuasanya secara salah.

“Malaysia membuktikan dan mengukuhkan kemenangan 6 Jun 2023 itu,” kata Azalina dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Perancis.

Antara yang hadir di mahkamah ialah Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Pembangunan) Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri Dr. Punitha Silivarajoo dan pegawai kanan Jabatan Peguam Negara serta Kementerian Luar.

Malaysia telah berjaya melindungi kepentingannya di seluruh dunia, dan yang terbaharu pada 6 Sept 2024, apabila Mahkamah Tertinggi Belanda menolak rayuan terakhir pihak penuntut, menjadikan keputusan itu muktamad dan mengakhiri penipuan tuntutan Kumpulan Sulu di Belanda.

“Berdasarkan kepada pernyataan yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak serta pernyataan yang mewakili Kerajaan Perancis, saya berharap agar keputusan rayuan yang dijangka akan diketahui kelak akan berpihak kepada Malaysia, Insya-Allah,” kata Azalina dalam hantaran di platform X beliau.

Azalina dalam kenyataannya berkata Malaysia akan terus berjuang menentang penipuan Kumpulan Sulu di bidang kuasa lain yang terlibat, termasuk di Sepanyol dan Luxembourg.

“Kerajaan Malaysia akan terus memastikan bahawa kedaulatan, keselamatan dan kepentingan Malaysia dilindungi setiap masa,” katanya.-BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE