PUTRAJAYA, 2 Julai - Malaysia perlu memiliki daya tahan terhadap ancaman keselamatan siber yang semakin kompleks melalui ketahanan secara menyeluruh, bukan hanya tertumpu pada teknologi semata-mata.
Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Ir. Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata, usaha tersebut perlu ditingkatkan berasaskan manusia dan proses sebagai pemacu utama.
"Pendekatan berasaskan manusia ini mengiktiraf bahawa tembok api yang paling canggih tidak berguna, sekiranya pengguna di belakangnya tidak peka dan polisi terbaik sekalipun akan gagal tanpa sokongan masyarakat.
"Menyedari hakikat bahawa Malaysia bukanlah negara pencipta teknologi, kita perlu mengoptimumkan kepakaran dan sumber tempatan agar kedaulatan negara tetap terpelihara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap utama pada Forum Strategi Keselamatan Siber Malaysia 2025 bersempena Pameran dan Persidangan Pertahanan & Keselamatan Siber (CYDES) 2025, di sini, hari ini.
Menurut beliau, pendekatan bagi memupuk masyarakat digital yang adaptif terhadap perubahan landskap ancaman amat penting. Ini kerana komuniti mewakili lapisan pertahanan akar umbi yang mesti dibina dan diperkasakan secara sistemik dan berhubung antara satu sama lain.