KUALA LUMPUR, 2 Julai- Program Malaysia Techlympics 2025 anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menjadi platform penting untuk memupuk minat dan melahirkan bakat muda dalam dalam bidang Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE).
Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan dan Pembudayaan Sains MOSTI, Ruziah Shafei berkata, program berbentuk pertandingan itu memberi peluang kepada pelajar dan belia berusia tujuh hingga 30 tahun; untuk mempamerkan kreativiti dan inovasi berasaskan teknologi.
Fokus pertandingan itu termasuk menggalakkan akses kepada Pendidikan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) khususnya kepada pelajar luar bandar.
"Kita memberi lebih pendedahan kepada mereka yang berada di luar bandar yang kita panggil jangkauan keterangkuman sebab kita mahu mereka merasai perkara ini.
"Contohnya baru-baru ini kita ada buat program di Pulau Tinggi dengan dua buah sekolah dengan bilangan pelajar yang sedikit. Kita melihat anak-anak luar bandar sebenarnya lebih kreatif sebab mereka terdedah dengan perkara ini lebih awal dalam kehidupan mereka.
"Kita percaya pada masa akan datang akan lebih ramai lagi pelajar-pelajar kita yang lebih berminat dan kita akan dapat produk-produk buatan Malaysia dan anak-anak tempatan boleh dipasarkan di peringkat antarabangsa," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi tetamu menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media di sini.
Memasuki tahun keempat penganjurannya, Ruziah berpandangan program itu amat signifikan dalam memastikan generasi muda lebih berdaya cipta dan bersedia mendepani cabaran era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).
Ia sekali gus, menggalakkan penciptaan teknologi tempatan yang boleh diketengahkan di peringkat antarabangsa.
Mengulas mengenai penglibatan peserta, Ruziah memaklumkan jumlah penyertaan belia semakin meningkat setiap tahun serta membuktikan bahawa kesedaran, minat dan penglibatan aktif belia dalam bidang tersebut.
MOSTI komited untuk mencapai sasaran 1.7 juta penyertaan daripada para pelajar dan belia menerusi program tersebut pada tahun ini.
Setakat ini, sebanyak 1,154,472 penyertaan dari seluruh Malaysia direkodkan melalui pertandingan-pertandingan yang dianjurkan.
Program tersebut dirangka bagi memastikan keterlibatan kumpulan sasar dari seluruh negara diberi peluang sama.
Saringan akan melibatkan pelaksanaan secara dalam talian serta disusuli secara fizikal di enam (6) peringkat zon utama iaitu zon utara, tengah, selatan, pantai Timur, Sabah dan Sarawak.
Bagi peringkat kedua, iaitu peringkat zon negeri, yang bermula pada 14-15 Julai bagi zon tengah, zon selatan (28-29 Julai), zon pantai Timur (11-12 Ogos).
Untuk zon Sabah akan diadakan pada 18-19 Ogos manakala zon Sarawak pada 3-4 September seterusnya zon utara semenanjung pada 22-23 September.
Semua pemenang negeri pada pertandingan peringkat zon akan dipelawa ke pertandingan akhir/kebangsaan pada 9 dan 10 November depan.