PUTRAJAYA, 16 Jun- Kedudukan Malaysia dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai Pemerdagangan Orang 2023 naik ke Tahap 2 Pemerhatian (Tier 2 Watch List), berbanding tahap tiga sebelum ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata usaha akan diteruskan bagi meningkatkan kedudukan negara ke tahap Tahap Dua.
Fokus, tertumpu kepada memenuhi 15 syor penambahbaikan yang dikemuka melalui laporan berkenaan. Penambahbaikan itu boleh dilaksanakan Malaysia bagi tujuan penilaian tahun berikutnya iaitu bermula 1 April 2023 hingga 31 Mac 2024.
(Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution)
"Kita pernah terjerumus dalam Tier 3, sebab itu bila kita naik ke Tier 2. Tier 2 itu seperti lesen L, 'watch list'. Jadi untuk perbaiki lagi daripada 'watch list' menjadi Tier 2 biasa, maka dalam laporan malam tadi dia (JNAS) sarankan lagi beberapa perkara penambahbaikan.
"Jadi dengan berpandukan kepada syor penambahbaikan itu, maka untuk tempoh 1 April tahun ini hingga 31 Mac 2024 Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi yang lain perlu tumpukan sedaya mungkin untuk cuba memenuhi saranan 15 perkara itu", katanya dalam sidang media Khas berkaitan JNAS mengenai Pemerdagangan Orang di Putrajaya.
Dalam masa sama kerajaan turut menyambut baik peningkatan positif Malaysia yang berjaya dinaiktaraf ke Tahap 2 Pemerhatian dalam Laporan JNAS mengenai Pemerdagangan Orang tahun 2023 yang diumumkan semalam.
Ini kerana peningkatan kedudukan ini akan memberi kesan positif ekonomi negara.