fb fb fb fb fb

Hina anggota polis bawahan: Suspek dipanggil ke IPD Gombak

(Tangkap layar video tular wanita hina anggota polis berpangkat rendah
di Gombak, Selangor)

GOMBAK, 16 Jun- Polis membuka dua kertas siasatan membabitkan seorang wanita yang mengeluarkan kata-kata berbaur penghinaan terhadap dua anggota polis seperti yang tular di media sosial.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan dibuka mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugut jenayah susulan laporan polis yang dibuat orang awam.

"Laporan kedua pula oleh pegawai rendah polis dan siasatan dibuka mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta menggunakan perkataan kurang sopan, aib atau menghina.

"Suspek telah dikenal pasti dan telah dipanggil ke bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gombak untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kejadian yang tular itu berlaku semalam di sebuah kedai makan di Taman Sri Gombak, Batu Caves di sini kira-kira pukul 12.00 tengah hari.

Pengadu dalam laporan memaklumkan, dia didatangi dan dimarahi seorang wanita tempatan (suspek) atas alasan pengadu melakukan bising.

"Suspek juga telah memperkenalkan diri sebagai penjawat awam dengan nada tinggi dan mengatakan ingin menahan serta mengugut untuk memukul pengadu, selain turut memarahi semua orang yang berada di tempat kejadian.

"Suspek juga mempersenda pegawai rendah polis dan tidak memberikan kerjasama untuk menunjukkan kad kuasa apabila diminta," katanya.

Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan video tersebut atau mengeluarkan sebarang komen yang boleh mengugat ketenteraman awam serta tidak menganggu proses siasatan.


(Tangkap layar video tular wanita hina anggota polis berpangkat rendah
di Gombak, Selangor)

Media Baharu