GYEONGJU, 1 November - Malaysia berjaya memperkukuh kerjasama strategik di peringkat serantau dan global menerusi lawatan kerja tiga hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Korea Selatan, yang berakhir hari ini.
Menurut Datuk Seri Anwar, ia bukan saja merancakkan pelaburan bernilai tinggi, malah memperteguh kedudukan Malaysia sebagai rakan kongsi ekonomi yang diyakini.
Salah satu pencapaian yang diraih adalah menjana komitmen eksport lebih setengah bilion ringgit membabitkan sektor ammonia hijau dan urea mampan, hasil kerjasama dengan Namhae Corporation, pengeluar terbesar baja kimia dan produk Kimia dari Korea Selatan.
Kerjasama JS Link dengan Lynas Malaysia pula membabitkan pembinaan fasiliti pembuatan ‘Super Magnet’ bernilai RM600 juta, sekali gus memperkukuh rantaian bekalan mineral kritikal dan teknologi bersih.
"LINUS sudah mula beroperasi, namun dengan penglibatan JS Link, keupayaan pemprosesan dapat ditingkatkan ke tahap yang lebih tinggi. Saya juga akan memastikan kerjasama dengan kerajaan negeri diperkukuh bagi mempercepatkan proses pelaksanaan, supaya mereka dapat bergerak dengan lebih pantas dalam masa terdekat.
"JS Link ini menarik kerana telah mula menjalinkan kerjasama dengan LINUS di Pahang dan telah mengadakan beberapa persiapan awal. Saya akan bertemu dengan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada Ahad ini.
"Manakala pada Isnin, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan meninjau serta mendapatkan maklumat lanjut mengenai pelaburan tersebut memandangkan ia amat penting," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas bertemu kesemua delegasi berkenaan di luar Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) di sini.
Selain itu pertemuan dengan Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Scott Bessent dan Gabungan Perniagaan Amerika-APEC pula membuka ruang pengukuhan kerjasama perdagangan serta peluang pelaburan.
15 syarikat gergasi Amerika berminat, sama ada mengembangkan atau memudah cara pelaburan di Malaysia susulan kunjungan Presiden Donald Trump pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 baru-baru ini.