KUALA LUMPUR, 11 Julai - Malaysia akan menguatkuasakan undang-undang lebih ketat bagi membendung kegiatan pemindahan minyak dari kapal ke kapal (ship-to-ship transfer) secara haram di perairan negara bermula bulan ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah ini diambil selepas Malaysia berdepan pelbagai tuduhan daripada pihak luar yang mendakwa negara ini menjadi lokasi pilihan aktiviti tersebut.
"Kita tidak mahu lagi dilabel sebagai negara yang memudahkan aktiviti pemindahan kapal ke kapal.
"Jika ada pelanggaran undang-undang, kita akan tahan kapal terbabit dan tangkap mereka yang bertanggungjawab," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media penutup sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AAM) ke-58 di sini, hari ini.
Terdahulu, dalam mesyuarat AMM ke-58, Malaysia turut menegaskan komitmen memperketat penguatkuasaan terhadap aktiviti pemindahan minyak secara haram di perairan negara.
Menurut Datuk Mohamad Hasan, tindakan penguatkuasaan sukar dilaksanakan berikutan lokasi pemindahan itu sering berada di luar perairan Malaysia, walaupun maklumat koordinat diberikan.
Katanya, langkah penguatkuasaan tersebut turut mendapat sokongan penuh kerajaan dan dijangka akan mencetuskan reaksi pelbagai pihak.