fb fb fb fb fb

Sabah terima hampir RM200 juta laksana 48 projek Sentuhan Kasih KPKT

FOTO BERNAMA

KOTA KINABALU, 11 Julai – Sabah menerima peruntukan hampir RM200 juta bagi melaksanakan 48 projek pembangunan infrastruktur dan kerja baik pulih di seluruh negeri, menerusi kawal selia 11 agensi di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, peruntukan tersebut melibatkan pelbagai inisiatif termasuk pembinaan baharu 10 projek Residensi Rakyat (PRR) dan Program Perumahan Rakyat (PPR) yang menelan kos RM39.7 juta. Antara lokasi pembinaan termasuk di Kionsom, Pitas, Lahad Datu, Kota Belud, Beaufort, Kapayan, Sandakan, Kuala Penyu dan Tuaran.

Sebanyak tiga projek  bawah Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) dan Program Penyelenggaraan Perumahan (PPP) turut dilaksanakan melibatkan kos RM7.66 juta. Dalam masa sama, sejumlah 13 projek pembinaan baharu, pembinaan semula, naik taraf dan pembelian bangunan balai bomba serta kuarters turut dijalankan, dengan kos keseluruhan RM7.76 juta.

Di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), sebanyak 60 projek telah diluluskan melibatkan peruntukan lebih RM60 juta. Projek-projek ini merangkumi pelbagai inisiatif pembangunan infrastruktur asas serta penyelenggaraan kemudahan awam.

Turut dilaksanakan ialah Program Baik Pulih Rumah di Bandar dengan peruntukan RM3 juta dan Program Bina Baharu Rumah di Bandar bernilai RM1.82 juta. Sementara itu, Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) menerima peruntukan RM24.48 juta bagi membantu golongan sasar memiliki rumah sendiri. Dalam masa yang sama, projek naik taraf dan pembaikan gerai, pasar awam serta sistem perparitan dan longkang dilaksanakan dengan kos RM23.42 juta.

KPKT turut memperuntukkan RM2.7 juta bagi kerja penyelenggaraan 15 buah Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) di seluruh negeri, sebagai sebahagian daripada komitmen kerajaan terhadap pemeliharaan keharmonian masyarakat berbilang agama.

Nga berkata demikian dalam sidang media sempena Program Jelajah Sentuhan Kasih KPKT yang berlangsung di PRR Putera Kionsom, Inanam, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, penantian selama lebih 20 tahun penduduk untuk mendiami rumah lebih selesa di Projek Residensi Rakyat (PRR) Putera Kionsom, akhirnya berakhir apabila mereka yang layak menerima kunci rumah masing-masing pagi tadi.

Projek PRR Putera Kionsom mula dibangunkan sejak tahun 2003 di bawah Pelan Pusingan Ketiga Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8), namun tertangguh sebelum berjaya disiapkan di bawah Kerajaan MADANI. Projek berkenaan memperoleh Sijil Kelayakan Menduduki Bangunan (CF) pada 5 Mei lalu.

Seorang penerima, Rosnah Abdullah melahirkan rasa syukur kerana akhirnya berjaya memiliki rumah sendiri selepas bertahun-tahun menyewa di Inanam. Beliau menyifatkan rumah baharu itu sebagai lebih selesa untuk didiami bersama anak dan cucu. Seorang lagi penerima, Jenny Wong turut berkongsi keterujaan menerima kunci rumah selepas menanti sejak tahun 2005.

PRR Putera Kionsom dibina di atas tanah seluas 2.6 hektar dan menempatkan 1,000 unit kediaman berkeluasan 750 kaki persegi. Ia turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan sokongan seperti 10 unit rumah Orang Kurang Upaya (OKU), dua unit tadika, enam unit kedai, empat unit surau dan lapan unit dewan serbaguna. Kos keseluruhan pembangunan projek ini ialah RM152.9 juta.

Sementara itu, di Menggatal, Nga turut menyerahkan kunci kediaman kepada pemilik unit Residensi Menggatal Fasa 1. Projek tersebut merangkumi 816 unit apartmen berkeluasan antara 850 hingga 1,053 kaki persegi, dan berjaya memperoleh skor 82 peratus dalam penilaian Sistem Penilaian Kualiti Dalam Pembinaan (QLASSIC) oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), menjadikannya antara projek kediaman berkualiti tinggi dan berdaya huni.

Dalam rangka lawatan sama, beliau turut melawat Tempat Letak Kereta Bertingkat Luyang, yang telah siap dibina dengan kos RM2.2 juta. Tempat letak kereta itu beroperasi secara tanpa tunai dari pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari dan dijangka mampu menampung keperluan parkir penduduk dan pengunjung di Pekan Luyang.

Program Jelajah Sentuhan Kasih KPKT turut menyaksikan majlis penyerahan semula Dewan Serbaguna Orang Ramai Luyang yang telah siap dinaik taraf. Dalam ucapan beliau, Nga menyifatkan ia sebagai antara dewan dan tempat letak kereta tercantik di negeri Sabah, hasil kerjasama erat KPKT, kerajaan negeri Sabah dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Lawatan berkenaan turut meliputi beberapa lokasi lain termasuk Taman Rekreasi Madani Tanjung Aru, Kapayan Square dan Rumah Ibadat Kristian di Petagas, sebagai sebahagian daripada komitmen KPKT memperkasa pembangunan komuniti secara holistik di negeri Sabah.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE