fb fb fb fb fb

Malaysia pelopor teknologi implan pendengaran pintar di Asia Tenggara

Pensyarah Fakulti Perubatan dan Pakar Perunding Kanan Jabatan Otorinolaringologi, ENT HCTM, UKM, Profesor Dr. Goh Bee See.

KUALA LUMPUR, 17 September - Malaysia melakar sejarah baharu dalam dunia perubatan apabila Pusat Pakar UKM Specialist Centre (UKMSC) berjaya melaksanakan pembedahan implan koklear pintar pediatrik pertama di negara ini, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai peneraju teknologi berkenaan di Asia Tenggara.

Pensyarah Fakulti Perubatan dan Pakar Perunding Kanan Jabatan Otorinolaringologi, Surgeri Kepala & Leher (ENT) Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr. Goh Bee See berkata, perbezaan utama implan pintar dengan konvensional terletak pada teknologi dalaman yang membolehkan sistem dinaik taraf dari semasa ke semasa. Ia sekali gus menjamin kualiti pendengaran sepanjang hayat penerima.

“Implan koklear pintar ini sangat istimewa kerana mempunyai perisian dalaman yang boleh dinaik taraf sentiasa, memori terbina, serta pemproses bunyi yang lebih ringan dengan kapasiti hayat bateri yang lebih lama,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di sini, hari ini.

Pembedahan sulung itu dilaksanakan pada 30 Julai lalu di HCTM terhadap pesakit kanak-kanak berusia enam tahun, Jayden Kwan Jing Long, yang mengalami kehilangan pendengaran hampir 90 peratus pada telinga kiri sejak usia tiga tahun.

Jayden bukan sahaja penerima pertama di Malaysia, malah di Asia Tenggara bagi teknologi tersebut.

Prosedur selama dua jam itu diketuai Prof. Dr. Goh bersama pasukan implan koklear HCTM merangkumi pakar audiologi, ahli terapi pertuturan, pediatrik, radiologi serta profesional kesihatan lain.

“Pembedahan berjalan lancar, tapi prosesnya bukan setakat pembedahan sahaja. Rawatan susulan sangat penting, bermula dengan pemetaan semula bunyi dan terapi intensif supaya Jayden dapat belajar mendengar dan bertutur kembali,” jelasnya.

Kejayaan ini memberi harapan baharu kepada lebih ramai kanak-kanak dengan masalah pendengaran serius di negara ini. Jayden kini menunjukkan perkembangan positif selepas pengaktifan pemproses implan koklear pintarnya.

“Teknologi ini membuka satu era baharu di mana perisian boleh dinaik taraf sepanjang masa, menjadikan kualiti hidup, komunikasi dan keyakinan sosial kanak-kanak ini akan jadi lebih baik,” tambahnya.

Prosedur sulung ini menandakan era baharu dalam rawatan pemulihan pendengaran moden berasaskan teknologi canggih yang boleh terus dipertingkat pada masa hadapan.

TUN JULIA MOHD TAHIR