fb fb fb fb fb

JAKIM, JAWI diarah anjur solat hajat untuk Sabah

JAKIM, JAWI diarah anjur solat hajat untuk Sabah / Foto Fail

KUALA LUMPUR, 17 September – Semua masjid dan surau di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diarah mengadakan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan rakyat di Sabah yang kini dilanda musibah banjir serta tanah runtuh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata arahan telah dikeluarkan kepada masjid dan surau di bawah pentadbiran JAKIM dan JAWI untuk melaksanakan solat hajat berkenaan.

“Saya merakamkan takziah dan rasa dukacita dengan musibah yang menimpa rakyat negeri Sabah. Semoga seluruh negeri Sabah segera pulih daripada ujian besar yang sedang melanda,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurutnya, semua agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga akan turun ke lapangan bagi membantu agensi pusat dan negeri dalam menyantuni penduduk yang terjejas.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dalam kenyataan berasingan memaklumkan solat hajat akan dilaksana di tiga masjid utama iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya hari ini selepas solat maghrib.

“JAKIM juga menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT dengan penuh pengharapan semoga keadaan di negeri Sabah segera pulih seperti sediakala, segala urusan penduduk terjejas dipermudahkan dan rakyat Sabah khususnya serta seluruh rakyat Malaysia amnya sentiasa dalam rahmat serta perlindungan Allah SWT,” katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN