fb fb fb fb fb

Petugas SESB hilang dibawa arus deras

Foto RTM

KENINGAU, 17 September - Seorang kakitangan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) dipercayai hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika sedang menjalankan tugas, di sini malam tadi.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan SESB pagi tadi, pasukan penyelamat bersama pihak berkuasa telah digerakkan dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa.

"Keutamaan kami pada ketika ini adalah keselamatan serta kebajikan kakitangan yang terlibat, di samping memberikan sokongan penuh kepada keluarga mangsa," jelas kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, SESB juga meminta agar semua pihak agar menghormati sensitiviti situasi berkenaan serta memberi ruang kepada keluarga mangsa yang kini sedang berdepan detik-detik sukar.

Mangsa, Masdi Rasmin, 30 tahun bersama dua rakan dilaporkan sedang melakukan kerja di pencawang berhampiran sebelum cuba melintas jambatan simen sebelum kenderaan yang dipandu dihanyutkan arus deras.

Sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Keningau, Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.57 malam.

"Sembilan anggota bersama jentera telah digegaskan ke lokasi kejadian bagi mencari mangsa yang hilang. Operasi mencari turut dibantu pihak polis dan penduduk tempatan, dengan pencarian tertumpu di kawasan tebing sungai," ujarnya.

Sehingga kini mangsa belum ditemukan.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN