PUTRAJAYA, 17 September - Seni budaya Malaysia melangkah ke era baharu dengan pelancaran BudayaVerse 2025, sebuah platform integrasi warisan dan teknologi digital yang diyakini mampu memacu ekonomi kreatif negara.
Pelancaran rasmi bersempena Hari Malaysia itu disempurnakan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Khairul Firdaus Akhbar Khan, yang menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai jambatan antara tradisi, inovasi dan generasi muda.
“BudayaVerse adalah jambatan antara tradisi dan inovasi, platform yang menghubungkan generasi muda, penggiat industri, penggiat budaya serta industri kreatif negara,” katanya.
Sorotan utama BudayaVerse 2025 ialah Pertandingan Rekaan AI x Budaya yang mengundang pencipta visual dan penggerak AI menzahirkan semula seni budaya Malaysia dengan sokongan rangkaian kreatif lebih 500,000 ahli.
Selain itu, Pameran & Program SinergiBudaya turut menyeru penyertaan sektor korporat melalui CSR, tajaan dan kerjasama budaya, sekali gus memperkasakan NGO, penggiat budaya serta komuniti kreatif.
BudayaVerse 2025 diyakini membuka peluang komersial dan memberi inspirasi baharu, menjadikan seni budaya Malaysia bukan sahaja khazanah warisan, malah pemacu ekonomi kreatif serta sumber ilham masa depan.