(Foto Bernama)
PUTRAJAYA, 27 Mei- Malaysia diyakini mampu kembali gah sebagai 'Harimau Asia' dekad ini.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ia menerusi usaha bersepadu untuk meningkatkan produktiviti dan tenaga kerja mahir dari semasa ke semasa.
Ke arah itu, semua majikan diseru memperbanyak program latihan dan kemahiran kepada seluruh tenaga kerja di Malaysia bagi meningkatkan kebolehpasaran dan kompetensi masing-masing.
Secara tidak langsung, dapat memacu kelangsungan pertumbuhan ekonomi negara bagi tempoh jangka masa panjang.
"Keterampilan atau kemahiran penting, ia bukan hanya untuk mengwujudkan produktiviti, daya pengeluaran, namun daya saing dalam kalangan peneraju industri amat penting kerana kita sebagai sebuah negara yang telah diletakkan dalam 'roadmap' yang cukup baik suatu ketika dahulu.
"Ini bukan soal upah dan gaji tetapi apabila produktiviti meningkat, dari 'training' yang dilakukan, 'upskilling' ataupun 'reskilling', ertinya produktiviti akan bertambah dan ini akan menyebabkan pertumbuhan ekonomi sama ada dalam bentuk 'eksport' ataupun untuk 'domestic economy'...ia akan meningkat dan ini menguntungkan para majikan," katanya.
(Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi/Foto Bernama)
Beliau berucap merasmikan majlis penutup Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Lepasan TVET, jamin keperluan sektor guna tenaga masa depan
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid yakin graduan sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dapat memenuhi serta menjamin keperluan sektor guna tenaga masa hadapan.
Menerusi 1,291 institusi TVET, lebih 200,000 peserta yang dilibatkan dalam latihan dan kemahiran setiap tahun dijangka dapat memberi impak tinggi terhadap pertumbuhan sektor guna tenaga negara bagi tempoh jangka panjang.
Beliau juga mahu pekerja mahir dan separa mahir diberi gaji lumayan, setimpal dengan kemahiran dan kepakaran masing-masing dalam bidang teknikal, kejuruteraan dan vokasional.
"Saya mahu pendekatan 'low cost', 'high impact'. Saya mahu graduan atau lepasan TVET bukan hanya sekadar diberikan gaji sama seperti lepasan SPM.
"Untuk menjadi sebuah negara yang maju, sebuah negara yang terus membangun, negara yang mempunyai produktiviti tinggi...saya pasti ini harus dilayani oleh para majikan.
"Kita faham pelaburannya tinggi, kita faham 'return of investment' diperlukan...untuk 'shareholders' dan juga para pelabur tetapi marilah kita bersama-sama agar pekerja diberikan upah yang setimpal dengan kemahiran dan latihan yang mereka perolehi agar majikan memperolehi keuntungan jangka panjang demi kepentingan mereka dan demi kepentingan para pemegang saham dan para pelabur yang akhirnya negara akan mendapat faedah," tambahnya.