KUALA LUMPUR, 23 Januari - Konsep Malaysia Madani dilihat sebagai suatu kerangka yang mampu menyatukan seluruh rakyat Malaysia.
Pengerusi Jemaah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Datuk Dr. Zulkiple Abd Ghani berkata rakyat perlu bersatu dan bersolidariti bagi mencapai suatu tahap kesejahteraan yang lebih tinggi.
"Kita masuk satu fasa baru dimana kita membazirkan beberapa tahun yang lepas dalam krisis politik yang berlaku di negara kita. Sepatutnya kita sudah melihat kehadapan dan dalam konteks ini pada saya kita perlu bekerjasama dengan pelbagai lapisan masyarakat untuk kita sama-sama mencorakkan malaysia baru.
"Saya menganggap kerangka madani ini satu kerangka yang boleh menyatukan kita, mungkin ada sedikit sebanyak perbezaan politik tapi kita kena meletakkan kepercayaan untuk kita sama-sama maju kehadapan memberi kesejahteraan kepada semua pihak," katanya ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.
Tambah Zulkiple, tanpa mengira perbezaan fahaman politik, agama dan bangsa Konsep Malaysia Madani mampu menuju kepada masyarakat yang bertamadun.