fb fb fb fb fb

Lelaki maut kereta dipandu terbabas di jalan Raub-Lipis awal pagi tadi

LIPIS, 23 Januari - Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas di Jalan Raub-Lipis, dekat Kampung Salang, awal pagi tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Bomba Pahang, Zulfadli Zakaria berkata pusat gerakan operasi (PGO) Bomba Pahang menerima laporan kemalangan itu pada pukul 12.08 tengah malam.

Kereta jenis Proton Iswara Aeroback yang dipandu mangsa dipercayai gagal dikawal sebelum merempuh pondok bas dan benteng berhampiran jalan berkenaan.

Beliau berkata, Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Lipis dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan.

"Pasukan bomba terpaksa menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan itu. Seramai 10 pegawai dan anggota bomba terbabit dalam operasi mengeluarkan mayat mangsa," katanya.

Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan yang turut serta dalam operasi berkenaan.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke hospital berhampiran bagi tujuan bedah siasat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tujuan siasat lanjut.

Media Baharu