BANGI, 23 Januari- Golongan muda khususnya graduan dipelawa meneroka peluang kerjaya dalam industri sawit.
Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia, (MPOB), Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, peluang terlibat dalam rantaian bekalan sawit tidak terhad kepada aktiviti perladangan semata-mata.
Jelas beliau, usaha menarik minat generasi muda perlu dipergiat bagi memenuhi keperluan aktiviti hiliran sawit.
Ia termasuk pengaplikasian teknologi dron, Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0), selain penyelidikan dan pengkomersialan.
"Penglibatan graduan universiti bukan setakat sektor perladangan.
Sektor perladangan pun sekarang kita cuba memodenkan teknologi IR 4.0, kita nak penggunaan teknologi dan jentera di ladang-ladang selain penggunaan dron," katanya ketika ditemui media pada majlis CEO Day di Universiti Kebangsaan Malaysia, di sini.
(Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir, Ketua Pengarah MPOB)
Tambah beliau, usaha memperkasa industri sawit melalui pengaplikasian teknologi dan inovasi diterajui Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit (MARCOP).