KOTA TINGGI, 23 Januari- Operasi mencari remaja lelaki yang dikhuatiri lemas selepas hilang sejak tengah hari semalam di Pantai Batu Layar, di sini disambung semula pukul lapan pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora memaklumkan, usaha mencari Hani Suefyan Hanizam, 16 tahun dihentikan sementara pukul 7:30 malam semalam disebabkan cuaca gelap dan ombak bergelora akibat angin kencang.
"Operasi hari ini melibatkan pencarian di darat, dua kilometer sepanjang pantai, manakala pencarian di laut meliputi kawasan antara 0.5 hingga dua batu dari pesisiran pantai.
Cuaca terkini di lokasi adalah mendung, laut bergelora, serta angin berkelajuan sehingga 50 knot," katanya.
(Misi mencari Hani Suefyan Hanizam, 16 tahun yang hilang di
Pantai Batu Layar, di sini diteruskan pada hari kedua)
Seramai 73 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) digerakkan untuk operasi itu.