fb fb fb fb fb

Malaysia kutuk pelancaran peluru berpandu balistik antara benua Korea Utara

(Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un mengarahkan pembangunan peluru berpandu balistik Hwasong-15/FOTO REUTER)

PUTRAJAYA, 21 Februari - Malaysia mengutuk pelancaran peluru berpandu oleh Korea Utara baru-baru ini, termasuk pelancaran satu peluru berpandu balistik antara benua pada 18 Februari lalu.

Wisma Putra melalui kenyataan berkata, tindakan Korea Utara tersebut hanya meningkatkan lagi ketegangan serantau dan menghalang prospek keamanan yang berkekalan di Semenanjung Korea.

"Malaysia amat kesal dengan insiden ini yang merupakan ancaman besar kepada keamanan dan keselamatan sejagat," kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, Malaysia turut menggesa DPRK supaya segera menghentikan program nuklear dan peluru berpandu balistiknya.

"Malaysia menggesa Korea Utara supaya mengelak daripada mengambil sebarang tindakan provokatif dan menyalahi undang-undang, mematuhi kewajipan di bawah resolusi-resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan komitmen antarabangsa berkaitan," tambahnya.

Wisma Putra berkata adalah mustahak bagi pihak yang berkenaan menyambung semula dialog untuk mencapai pelucutan senjata nuklear secara menyeluruh, boleh disahkan dan tidak boleh diubah di Semenanjung Korea.

Media antarabangsa melaporkan bahawa Korea Utara menguji ICBM Hwasong-15 pada Sabtu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pyongyang.

Peluru berpandu Hwasong-15 mampu mencapai ketinggian maksimum 5,768 kilometer (3,584 batu), meliputi jarak 989 km.

Media Baharu