fb fb fb fb fb

Malaysia-Korea Selatan bincang kerjasama perkukuh hubungan bilateral

(Foto Wisma Putra)

PUTRAJAYA, 7 Januari- Diplomat tertinggi Malaysia dan Korea Selatan menyatakan komitmen untuk mengukuhkan lagi hubungan rapat antara kedua-dua negara.

Wisma Putra menerusi akaun Twitter rasmi memaklumkan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan rakan sejawatannya dari Korea Selatan, Park Jin sepakat menyuarakan komitmen itu menerusi perbualan telefon.

Kedua-dua pihak bertukar-tukar pandangan mengenai hubungan bilateral Malaysia-Korea Selatan dan membincangkan pelbagai isu serantau serta antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

"Perbincangan itu antara lain menyentuh mengenai memperkukuh hubungan dalam industri pertahanan dan infrastruktur.

"Park turut memuji kerjasama terdahulu kedua-dua negara dalam pelbagai bidang sejak menjalin hubungan diplomatik pada 1960," menurut twit tersebut.

Menteri Luar Korea Selatan turut menjelaskan mengenai strategi Indo-Pasifik Korea Selatan yang diumumkan baru-baru ini dan visi negara itu untuk mengukuhkan hubungan dengan negara-negara anggota ASEAN.

(Malaysia-Korea Selatan bincang kerjasama perkukuh hubungan bilateral)

Media Baharu