fb fb fb fb fb

Malaysia konsisten, terus lantang membela penduduk Palestin- Fahmi

Fahmi Fadzil ketika ditemu bual agensi berita Al-Jazeera

KUALA LUMPUR, 23 November- Malaysia kekal konsisten dalam pendiriannya untuk terus bersuara di peringkat antarabangsa mengenai konflik di Gaza.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menegaskan, selain menyatakan pendiriannya menerusi keanggotaan badan antarabangsa, fokus juga tertumpu kepada bantuan kemanusiaan ke rantau tersebut.

Meskipun bukan signatori kepada Statut Rome, Malaysia turut menyokong usaha untuk mendakwa Israel atas jenayah perang berdasarkan undang-undang antarabangsa.

"Malaysia percaya perlunya konsensus di peringkat antarabangsa dan bersedia memainkan peranan. Bukan sekadar menyatakan pendirian tentang usaha ke arah gencatan senjata yang begitu perlahan, kami juga menyokong semua usaha damai demi menamatkan perang dan genosid ini,"katanya.

Fahmi ditemu bual oleh agensi berita Al-Jazeera.

Tambahnya, Malaysia menyambut baik jeda kemanusiaan dicapai semalam namun menggesa komuniti antarabangsa untuk terus berusaha ke arah gencatan senjata secara kekal.

"Sungguhpun bukan gencatan senjata kekal, tapi ia dicapai hasil kerja keras komuniti antarabangsa selama ini. Malaysia menyambut baik usaha ini dan pada masa sama berharap lebih banyak bantuan dan sokongan disalurkan, selain berharap perang dan pembunuhan ini dapat ditamatkan sepenuhnya,"jelas Fahmi.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE