fb fb fb fb fb

Malaysia komited perkukuh APG, jamin keselamatan tenaga serantau

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 Oktober – Malaysia menegaskan komitmennya untuk memperkukuh pelaksanaan ASEAN Power Grid (APG) bagi menjamin keselamatan, kemampanan dan kemampuan tenaga serantau.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA),  Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pelaksanaan APG amat penting bagi memastikan bekalan tenaga di rantau ASEAN kekal stabil dan saling menyokong antara negara anggota, terutamanya dalam menghadapi cabaran tenaga masa hadapan.

"Jadi, inilah keseluruhan idea apabila kita membincangkan mengapa ASEAN Power Grid (APG) itu penting. Pertama, ia bagi memastikan keselamatan bekalan tenaga. Kedua, kita dapat mengekalkannya secara mampan.

"Dan ketiga, ia akan memastikan tenaga kekal mampu dibayar oleh rakyat. Inilah konsep di mana setiap negara akan saling membantu antara satu sama lain", katanya demikian pada sidang media selepas penutupan Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-43 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Datuk Seri Fadillah turut menjelaskan, projek APG merupakan antara kejayaan utama yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut, dengan projek eksport tenaga rentas sempadan antara Laos, Thailand, Malaysia dan Singapura (LTMS-PIP) menjadi contoh pelaksanaan yang berjaya dan kini sedang diperluas.

“Thailand telah bersetuju untuk menandatangani perjanjian baharu menjelang November ini selepas berlaku sedikit kelewatan berikutan perubahan kerajaan di negara itu,” katanya.

Beliau juga menambah, model perniagaan yang diguna pakai menerusi LTMS-PIP boleh dijadikan contoh kepada negara ASEAN lain bagi memperkukuh kerjasama tenaga serantau.

Setakat ini, ASEAN telah menyiapkan sembilan daripada 18 projek sambungan grid kuasa dengan kapasiti keseluruhan 10.2 gigawatt, dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 25 gigawatt menjelang 2030.

Datuk Seri Fadillah turut memaklumkan bahawa antara fokus seterusnya ialah memperkukuh sambungan grid kuasa di Borneo serta pembangunan kabel dasar laut yang akan menghubungkan beberapa negara ASEAN sebagai langkah memperluas jaringan tenaga serantau.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD