PUTRAJAYA, 17 Oktober - Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang diunjurkan berkembang 5.2 peratus pada suku ketiga tahun ini, melepasi sasaran awal 4.8 peratus.
Jelas Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI, ini sekaligus membuktikan ekonomi Malaysia terus berkembang pesat, meskipun berdepan ketidaktentuan isu geopolitik dan perdagangan antarabangsa.
"Ini membuktikan walaupun dalam keadaan yang tidak stabil, namun dari segi asasnya ekonomi Malaysia terus berkembang pesat, terutama dalam sektor pembinaan dan perkhidmatan.
"Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan sektor pembuatan mungkin akan diberi sedikit penelitian untuk pastikan isu-isu cabaran yang mereka hadapi dalam keadaan kini dan dapat ditangani dengan lebih baik," katanya.
Beliau juga memaklumkan Perdana Menteri merakamkan ucapan tahniah kepada beberapa agensi penguatkuasaan atas kejayaan memulihkan hasil negara berjumlah RM 15.5 bilion melalui tindakan tegas terhadap kegiatan jenayah ekonomi dan rasuah.
Antara agensi yang diberi penghargaan termasuk Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam.
"Perdana Menteri telah menyatakan penghargaan ini dalam mesyuarat jemaah menteri. Ini membuktikan dengan tindakan penguatkuasaan oleh agensi-agensi yang lebih tegas maka ia akan dapat membantu mengurangkan ketirisan dan perlakuan jenayah yang akan merugikan negara," katanya dalam sidang media mingguan selepas Mesyuarat Kabinet di Putrajaya.