fb fb fb fb fb

Tiada penutupan penuh laluan sempena Sidang Kemuncak ASEAN

Foto hiasan/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 17 Oktober - Tiada penutupan penuh semua laluan utama yang terbabit dengan pergerakan ketua negara yang akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada 26 hingga 28 Oktober ini.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI, berkata penutupan tersebut sebaliknya bersifat sementara dan laluan terbabit akan dibuka semula selepas acara selesai.

"Boleh rujuk dengan kenyataan Menteri Luar semalam... ia bukan lockdown, dia bukan tutup permanent. Contohnya sekiranya ketua negara melalui daripada lapangan terbang ke Kuala Lumpur, maka laluan itu akan ditutup sementara waktu.

"... dan kebanyakan daripada tempoh itu adalah secara berperingkat, ditutup secara berperingkat setelah laluan itu selesai digunakan, maka akan dibuka semula, ia bukan 24 jam, bukan lockdown", katanya dalam sidang media mingguan di Putrajaya.

Antara kawasan terlibat ialah laluan dari Kompleks Bunga Raya serta sekitar Pangkalan Udara Subang, yang akan ditutup sementara pada waktu-waktu tertentu bagi memberi laluan kepada ketibaan delegasi, ketua-ketua negara dan kerajaan.

Selain itu, kawasan sekitar Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) yang menjadi lokasi utama sidang turut akan mengalami penutupan jalan mengikut jadual yang telah diumumkan oleh urus setia ASEAN.

Oleh itu, beliau menyeru orang ramai agar mengambil maklum tentang penutupan tersebut dan merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

 

ROSLINA BINTI DIN