PUTRAJAYA 17 Oktober - Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, hari ini mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengambil tindakan tegas terhadap penjualan barangan terlarang di platform media sosial serta platform e-dagang.
Beliau berkata dalam masa sama, MCMC akan meneliti tindakan lanjut terhadap platform e-dagang yang tidak memberikan kerjasama dalam mematuhi arahan kerajaan dan undang-undang yang sedia ada.
"Saya telah mengarahkan pihak untuk mengambil tindakan. Pertama, di platform-platform media sosial pada waktu ini ataupun platform-platform e-dagang.
"Memang pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dari semasa ke semasa ada meminta mengarahkan MCMC untuk mengambil tindakan mengarahkan penurunan produk-produk yang dijual tanpa kebenaran seperti mungkin barang-barang tiruan dan sebagainya", katanya dalam sidang media mingguan di Putrajaya.
"Saya juga telah mengarahkan supaya pihak MCMC meneliti keperluan untuk sekiranya pihak syarikat e-dagang, platform e-dagang tidak memberikan kerjasama yang baik, apakah tindakan-tindakan lanjut yang boleh diambil untuk pastikan mereka akur dan mematuhi arahan daripada pihak kerajaan dan mematuhi undang-undang negara.
Oleh itu, beliau berharap kerjasama lebih erat antara MCMC, Polis Diraja Malaysia (PDRM), KPDN, dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap penjualan produk terlarang dalam talian.
Sementara itu, satu jawatankuasa khas akan dibentuk bagi meneliti segala permasalahan dan isu semasa yang berbangkit di sekolah.
Datuk Fahmi berkata jawatankuasa itu akan melaksanakan kajian sebelum laporan penuh dibentangkan dalam masa terdekat.
"Jemaah Menteri telah membincangkan keperluan untuk melakukan satu kajian penuh terhadap isu-isu yang dihadapi oleh sekolah-sekolah.
"... dan ini akan diusahakan oleh sebuah jawatankuasa khas yang mana laporannya akan disediakan dalam masa terdekat, secepat mungkin untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri bagi memutuskan tindakan-tindakan selanjutnya", katanya.
Beliau turut memaklumkan Jemaah Menteri turut bersetuju bahawa terdapat keperluan untuk meningkatkan kehadiran anggota polis di sekolah.
"Kehadiran anggota PDRM (Polis Diraja Malaysia) akan dapat memberikan satu signal bahawa sekolah kita ialah tempat yang selamat … Kementerian Dalam Negeri akan mengeluarkan kenyataan penuh sejurus selepas ini," katanya.