fb fb fb fb fb

Trak bantuan MyCARE berjaya tembusi Gaza melalui Lintasan Rafah

Trak bantuan kemanusiaan anjuran Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) sampai ke Gaza/RTM

KUALA LUMPUR, 17 Oktober - Rakyat Palestin di Gaza menerima dua trak bantuan kemanusiaan anjuran Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) yang masuk melalui lintasan Rafah semalam, susulan pembukaannya Rabu lalu.

Bantuan tersebut merupakan sebahagian daripada lima trak keseluruhan yang dihantar oleh MyCARE dengan kerjasama NGO tempatan, Al-Khyr.

Konvoi itu merangkumi empat trak yang membawa 80 tan tepung serta sebuah trak yang mengandungi 1,000 pek makanan.

Menurut laporan daripada Al-Khyr, kesemua bantuan yang berjaya melepasi sempadan kini disimpan di sebuah gudang di selatan Gaza.

Proses agihan pula dipantau secara langsung oleh Pengurus Besar MyCARE di Gaza, Dr. Ziad Shehada.

"Selama dua tahun, penduduk bukan sahaja menjadi mangsa pengeboman dan genosid, tetapi juga mengalami kebuluran yang amat teruk. Genosid yang dilakukan oleh rejim Zionis digunakan sebagai senjata terhadap rakyat di Gaza.

"Kami akan terus komited menyampaikan bantuan terutama dalam bentuk makanan dan air bersih," kata Pengurus Kanan Projek MyCARE Kamarul Halim Sakrani dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Bantuan bernilai hampir RM360,000 merupakan permulaan kepada beberapa projek kemanusiaan yang telah dirancang oleh MyCARE.

Projek tersebut akan dilaksanakan dalam dua fasa bermula Oktober 2025 hingga September 2026.

Antara projek yang dirangka termasuklah penyediaan klinik bergerak, tempat perlindungan sementara, penyelenggaraan telaga air dan pemasangan panel suria untuk sumber air bersih.

Projek dianggarkan bernilai RM9 juta itu turut meliputi pemulihan prasarana pendidikan, pengagihan pek makanan, susu bayi, air minuman bersih serta projek penjanaan pendapatan dan pemulihan jangka panjang.

Keseluruhan projek akan mengambil masa tiga sehingga enam bulan pelaksanaan, termasuk tiga bulan pertama bagi projek bantuan segera dan enam bulan seterusnya bagi projek pemulihan jangka panjang.

Sejak 7 Oktober 2023, MyCARE telah menyalurkan lebih RM27 juta dalam bentuk bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin, dengan 80 peratus disalurkan ke Gaza dan selebihnya ke Baitulmaqdis, Tebing Barat serta pelarian Palestin di negara-negara lain.

Fokus utama bantuan adalah dalam aspek keselamatan makanan, pemulihan awal dan kesihatan.

MyCARE menegaskan komitmennya untuk terus berdiri teguh bersama rakyat Gaza dan meneruskan misi kemanusiaan dalam menghadapi situasi yang sangat mencabar ini.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ