fb fb fb fb fb

Malaysia kesal UNSC gagal menangani isu di Gaza

Penduduk Gaza menyelamatkan mangsa di bawah runtuhan bangunan

KUALA LUMPUR, 21 Februari- Malaysia meluahkan kekesalan atas kegagalan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) menangani situasi genting yang sedang berlaku di Gaza.

Menurut kenyataan media Kementerian Luar hari ini, resolusi diusulkan Algeria gagal menerusi penggunaan kuasa veto sekali gus melumpuhkan lagi usaha masyarakat antarabangsa menangani malapetaka kemanusiaan di Palestin.

Keadaan semakin meruncing di Gaza atas serangan besar-besaran dilakukan oleh Israel di Rafah.

"Penyelesaian yang berkesan untuk menangani krisis ini apabila Majlis Keselamatan PBB melaksanakan gencatan kemanusiaan dengan serta merta.

"Satu-satunya jalan penyelesaian terbaik terhadap konflik ini ialah dengan melaksanakan Penyelesaian Dua Negara berdasarkan garis sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin," kata kenyataan itu.

Bagaimanapun Malaysia mengulangi gesaannya supaya Palestin diiktiraf sebagai anggota penuh PBB.

Semalam, Amerika Syarikat sekali lagi memveto draf resolusi UNSC mengenai perang Israel-Palestin yang menghalang permintaan untuk gencatan senjata kemanusiaan segera.

Seramai 13 anggota majlis mengundi menyokong draf resolusi yang diusulkan Algeria manakala Britain berkecuali.

Amerika Syarikat buat kali ketiga menggunakan kuasa vetonya terhadap draf resolusi berkaitan Gaza sejak permulaan konflik pada 7 Oktober lalu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI