fb fb fb fb fb

RM6 juta bina bangunan sementara SK Perigi Acheh, Pasir Gudang

Exco Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin /Foto RTM

JOHOR BAHARU, 21 Februari - Kementerian Pendidikan (KPM) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM6 juta bagi pembinaan bangunan sementara Sekolah Kebangsaan (SK) Perigi Acheh di Pasir Gudang.

Projek pembinaan itu bermula Jun ini dan dijangka siap sebelum akhir tahun ini.

Exco Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, sebanyak RM55,000 pula bakal diperuntukkan Kerajaan negeri bagi tujuan pengangkutan buat murid SK Perigi Acheh ke SK Tanjung Langsat, sementara menunggu bangunan berkenaan siap dibina.

"Ia akan melibatkan satu bangunan yang boleh tahan sehingga tujuh hingga sembilan tahun.

"Penstrukturan bangunan berkenaan melibatkan 'skeleton frame dan 'cement foam'. Dia bukanlah kabin, tetapi menggunakan teknologi hebat", kata Aznan di sini.

SK Perigi Acheh ditutup pada 30 Julai 2021 apabila struktur bangunannya tidak selamat digunakan dan murid-murid dipindahkan ke SK Tanjung Langsat.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD