fb fb fb fb fb

Malaysia-Indonesia tandatangani empat MoU, perkasa kerjasama

(Tengku Zafrul (kanan) menandatangani perjanjian dua hala dengan rakan sejawatnya dari Indonesia hari ini)

PUTRAJAYA, 8 Jun- Sebanyak empat pertukaran memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara Malaysia dan Indonesia dalam memperkasakan hubungan kerjasama kedua-dua negara.

Instrumen pertama membabitkan perjanjian rentas sempadan yang ditandatangani Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan rakan sejawatnya, Muhammad Tito Karnavian.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pula menandatangani instrumen berkaitan perdagangan sempadan dengan Menteri Perdagangan Indonesia, Zulkifli Hasan.

Selain itu, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz turut menandatangani kerjasama bersama Menteri Pelaburan Indonesia, Airlangga Hartarto mengenai Kerjasama Promosi Pelaburan.

Instrumen terakhir ditandatangani Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff dengan Pengerusi Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal Indonesia, Muhammad Aqil Irham, membabitkan pengiktirafan bersama pensijilan halal bagi produk domestik.


(Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff (kanan) bersama Pengerusi
Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal Indonesia, Muhammad Aqil Irham)

Semua dokumen itu ditandatangani di Kompleks Seri Perdana sempena lawatan kerja Presiden Indonesia, Joko Widodo ke Malaysia.

Pada tahun 2022, Indonesia merupakan rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dan kedua terbesar ASEAN dengan jumlah dagangan sebanyak RM130.14 bilion, peningkatan sebanyak 36.5 peratus berbanding RM95.31 bilion pada tahun 2021.

Media Baharu