KUALA LUMPUR, 4 Oktober - Malaysia menyatakan harapan bagi mengadakan perbincangan lebih terbuka bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sempena Sidang Kemuncak Asia Timur dan Sidang ASEAN–AS dalam usaha menjamin hak rakyat Palestin sebagai sebuah negara berdaulat serta bermaruah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, perbincangan bersama-sama rakan-rakan serantau itu turut meliputi pembentukan sistem orde dunia lebih adil, damai dan berkekalan pada persidangan yang dijadual berlangsung akhir bulan ini di ibu negara.
"Saya akan menyambut Presiden Trump ke Kuala Lumpur bersempena Sidang Kemuncak Asia Timur dan Sidang ASEAN–AS.
"Saya menanti serta mengharapkan suatu ruang dialog dan wacana segar dan terbuka tentang bagaimana Malaysia bersama rakan-rakan dapat menyumbang serta membentuk satu orde dunia adil dan damai berkekalan, tentunya akan mencakup serta menjamin hak rakyat Palestin dan sebuah negara Palestin yang berdaulat dan bermaruah," katanya menerusi siaran langsung di Facebook hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Anwar berkata, Malaysia menyambut baik perkembangan terbaharu berhubung respons positif Hamas terhadap cadangan pelan gencatan senjata, yang dilihat sebagai langkah penting ke arah menghentikan perang dan pembantaian di Gaza.
Perdana Menteri menegaskan bahawa inisiatif itu akan memberi sedikit kelegaan kepada rakyat Gaza yang telah lama menderita akibat konflik berpanjangan.
Beliau turut menyentuh kenyataan Trump yang menyeru Israel menghentikan serangan dan pengeboman, sekali gus membolehkan proses perdamaian dijalankan dengan lebih berkesan dan menyeluruh.
"Malaysia seharusnya sedar bahawa perkembangan ini adalah susulan daripada keberkesanan hubungan diplomatik dengan AS, negara-negara Arab, negara-negara Islam dan negara-negara yang mematuhi prinsip hak asasi dan maruah manusia
"Apa yang kita perlukan sekarang ialah bersabar: hentikan serangan dalam kadar segera, menjamin tempoh bertenang dan mempercepat serta memudahkan penyampaian bantuan kemanusiaan ke Gaza," jelas beliau.
Beliau berkata, keamanan yang kekal tidak akan datang sekelip mata yang mana tidak berlaku di Vietnam, pascakolonial Algeria, Indonesia mahupun Malaysia.
Katanya, ia mesti dibina dengan kesabaran yang jitu, langkah demi langkah selain tidak mampu menerima sebarang penangguhan dalam mengakhiri penderitaan warga Gaza.
"Tragedi sadis yang telah menghentak nurani dunia mesti segera dihentikan," tegas beliau.
Beliau turut mengiktiraf peranan penting dimainkan negara-negara Arab, terutamanya Qatar bersama Turkiye, Mesir dan negara-negara Islam lain dalam memastikan gencatan senjata itu bukan sahaja berterusan tetapi juga menjadi titik tolak kepada penyelesaian politik sebenar.
Tambah beliau, Amerika Syarikat juga mempunyai tanggungjawab besar dalam menekan Israel untuk mematuhi kewajiban antarabangsa dan memberi ruang kepada usaha diplomasi.