fb fb fb fb fb

Festival Seni Hidup 2025 tonjol warisan dunia

Foto RTM

GEORGE TOWN, 4 Oktober – Festival Seni Hidup 2025 (Living Arts Cultural Festival 2025 – LACF 2025) yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) buat julung kalinya diadakan di Pulau Pinang, menampilkan penyertaan daripada 10 negara termasuk Malaysia.

Antara negara yang mengambil bahagian ialah Indonesia, Thailand, Bulgaria, India dan Jepun, dengan pelbagai persembahan seni dan warisan budaya yang diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Ketua Pengarah JKKN, Mohd Amran Mohd Haris berkata, pemilihan Pulau Pinang sebagai lokasi penganjuran edisi keenam festival itu amat bertepatan memandangkan Georgetown merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO, selain kawasan Lebuh Armenian yang terkenal dengan aktiviti seni dan menjadi tumpuan pelancong antarabangsa.

“Kalau kita lihat dalam penganjuran kali ini, kesenian yang dibawa adalah kesenian yang telah mendapat pengiktirafan di bawah UNESCO dan juga Daftar Warisan Kebangsaan negara masing-masing.

“Sebagai contoh, Malaysia menampilkan persembahan Mek Mulung yang diiktiraf pada tahun lepas, selain penyertaan daripada Bulgaria, Thailand dan Korea yang turut membawa kesenian warisan diiktiraf kerajaan masing-masing,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian LACF 2025 di Georgetown, hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Yang di -Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib, dan turut dihadiri Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Shaharuddin Abu Sohot serta Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

LACF 2025 yang diadakan selama tiga hari bermula semalam dijangka menarik kehadiran antara 30,000 hingga 40,000 pengunjung, menjadikannya antara acara kebudayaan terbesar di utara tanah air.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD