KUALA LUMPUR, 6 Mei- Malaysia berharap dapat bekerjasama dengan negara anggota ASEAN yang lain ke arah mengawal selia industri komunikasi dan multimedia dengan lebih baik selain bekerjasama rapat sebagai blok serantau.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dalam ucapan perasmiannya pada Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC 2024) sulung berkata, sebagai pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia berhasrat untuk menyemarakkan forum pimpinan ASEAN dan mecatatkan pencapaian penting.
Rangka kerja pengawalseliaan serantau mengenai keselamatan dalam talian dijangka memudahkan penyelarasan dan kerjasama kalangan negara anggota ASEAN dalam menangani cabaran berkaitan keselamatan dalam talian, serta membina konsensus serantau mengenai komitmen ASEAN untuk menjaga persekitaran digital.
"Dengan aspirasi itu marilah kita salurkan usaha kolektif kita ke arah memupuk ASEAN yang lebih bersepadu dan berdaya tahan.
"Dengan bekerjasama secara berkesan dan menerima amalan kawal selia yang inovatif, kita boleh memastikan masa depan yang lebih cerah dan terjamin untuk semua negara ASEAN," katanya.
Dalam pada itu persidangan berkenaan juga dilihat dapat mengumpul pakar dan juga rakan-rakan dalam bidang kawal selia dari dalam ASEAN dan seluruh dunia.
"Harapan saya dengan adanya Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC 2024) yang pertama ini, kita dapat laksanakan secara berkala.
"HAsil daripada pertemuan dan perkongsian serta sesi yang diadakan mungkin ada beberapa langkah, ikhtiar, strategi yang kita boleh teliti. Sekiranya bersesuaian dengan keadaan di Malaysia boleh dilaksanakan," katanya.
Seramai 800 peserta menghadiri persidangan dua hari itu dengan tema 'Menyelaras Inovasi Dengan Keselamatan Untuk Masa Depan Mampan' yang membincangkan pelbagai inovasi, teknologi baru muncul, rangka kerja kawal selia dan pendekatan dalam lingkungan industri komunikasi dan multimedia.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) Datuk Mohamad Fauzi Md Isa turut hadir semasa Majlis Perasmian Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2024 di Kuala Lumpur.