SAN FRANCISCO, 16 November- Malaysia dan Google mengumumkan kerjasama strategik untuk mewujudkan peluang pertumbuhan inklusif kepada lebih ramai rakyat dan syarikat tempatan menerusi ekonomi digital.
Google berkata langkah berkenaan dapat membantu para peniaga di Malaysia memajukan daya saing digital mereka.
Ini menerusi program kemahiran pelaburan dalam infrastruktur digital, inovasi kecerdasan buatan (AI) dan dasar mengutamakan awam.
"Google Cloud, CloudMile dan Trainocate menyediakan lima kaedah pembelajaran digital tanpa sebarang kos dalam menyediakan lebih banyak peluang latihan digital kepada rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang.
"Ia boleh diakses menerusi program Go Cloud yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran 300,000 rakyat Malaysia menjelang 2026.
"Mereka yang melengkapkan lima laluan pembelajaran akan memperoleh sijil kemahiran digital yang boleh dimasukkan dalam resume dan mereka juga layak menerima 30 hari lanjutan akses untuk laluan pembelajaran seterusnya tanpa sebarang kos," kata Google menerusi kenyataan selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini.
Dalam pada itu, Anwar berkata Google, Enovix Corporation, Microsoft dan TikTok telah memberi perakuan melanjutkan pelaburan mereka di Malaysia secara besar-besaran.
Kesemua syarikat itu turut mengakui sistem politik yang stabil dan dasar yang jelas antara faktor penting menarik minat mereka untuk melabur di Malaysia.
"Malaysia juga menyatakan komitmen untuk memberikan proses kelulusan pantas kepada semua pelabur dan ia jelas menambah keyakinan kepada syarikat-syarikat ini. Semoga pertemuan dengan kesemua syarikat gergasi itu dapat membawa manfaat kepada negara dan rakyat keseluruhannya, Insya-Allah," kata Anwar.
Semasa pertemuan tersebut, Google diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan merangkap Ketua Pegawai Kewangannya, Ruth Porat, Enovix Corporation diwakili Ketua Pegawai Operasinya, Ajay Marathe, Microsoft Asia oleh Presidennya, Ahmed Mazhari sementara TikTok oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shou Zi Chew.
Turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Artikel Berkaitan:
Kestabilan politik penting untuk kemajuan ekonomi - Anwar