fb fb fb fb fb

Malaysia gesa perkukuh kerjasama global, tangani krisis air

Foto FB Fadillah Yusof

PUTRAJAYA, 13 Mei- Malaysia menggesa komuniti antarabangsa untuk memperkukuh kerjasama dalam menangani krisis air global.

Menurut Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof dalam kenyataannya di Facebook berkata ia satu cabaran rentas sempadan yang memberi kesan kepada semua tanpa mengira negara kaya atau miskin.

Selain itu, perkongsian strategik dan tindakan polisi yang selaras adalah keutamaan dalam menjamin masa depan air lebih mampan dan berdaya tahan.

Tegasnya, masyarakat global perlu mengiktiraf air sebagai sumber sangat berharga untuk kelangsungan hidup dan pembangunan manusia.

"Air merupakan nadi kehidupan planet yang menyatukan masyarakat global dalam satu tanggungjawab bersama. Justeru krisis air global yang merentasi sempadan dan ekonomi, menuntut kerjasama segera," kongsinya berhubung pengalaman Malaysia pada Sidang Kemuncak Air Global 2025 di Paris, Perancis.

Beliau turut mengesahkan komitmen Malaysia dalam menawarkan kepakaran sebagai model bagi negara-negara yang menghadapi isu keselamatan air, selari pendekatan progresif negara dalam pengurusan air mampan.

"Sementara itu, pencapaian utama dalam
perjalanan pengurusan air Malaysia menekankan pembaharuan dalam mengurus permintaan yang semakin meningkat termasuk kesan perbandaran, perubahan iklim dan penggunaan air oleh industri.

"Intipati Utama Agenda Transformasi Sektor Air Malaysia 2040 menumpukan terhadap mengubah perspektif air, memperkukuh kerjasama sektor swasta dan kesediaan proaktif terhadap perubahan iklim.

"Selain itu, Malaysia juga berperanan aktif dalam usaha serantau khususnya di peringkat ASEAN, sambil menghulurkan jemputan kepada pencipta inovasi global untuk melabur serta bekerjasama dalam teknologi air generasi baharu," katanya.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM