PUTRAJAYA, 13 Mei - Kementerian Luar Negeri sedang memantau rapat situasi di rantau Asia Selatan, terutamanya berkaitan keselamatan rakyat Malaysia yang berada di India dan Pakistan, susulan ketegangan sempadan dan gangguan operasi penerbangan di rantau berkenaan.
Menerusi kenyataan Kementerian Luar berkata, pihaknya berhubung secara berterusan dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dan Islamabad serta pejabat-pejabat Konsulat Jeneral Malaysia bagi mendapatkan perkembangan terkini dan usaha turut digiatkan bagi memastikan semua rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas menerima bantuan sewajarnya.
"Pejabat-pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia telah menghubungi rakyat Malaysia di kedua-dua negara bagi menyampaikan khidmat nasihat serta bantuan konsular," menurut kenyataan itu.
Gangguan operasi membabitkan sekurang-kurangnya 32 lapangan terbang di bahagian barat dan utara India serta beberapa lapangan terbang utama di Pakistan, termasuk Islamabad, Lahore dan Karachi.
Di India, lebih 350 rakyat Malaysia sedang dibantu oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi serta Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai dan Chennai, termasuk pelancong dan mereka yang bekerja di kawasan terjejas.
Sementara itu, lebih 100 rakyat Malaysia di Pakistan telah menerima bantuan daripada Suruhanjaya Tinggi di Islamabad dan Konsulat Jeneral di Karachi, merangkumi urusan penginapan, kebajikan serta penyelarasan perjalanan pulang ke tanah air.
Kebanyakan mereka dilaporkan sudah pulang atau dijadualkan berlepas dalam masa terdekat.
"Sebagai langkah berjaga-jaga, rakyat Malaysia di India dan Pakistan, khususnya di kawasan sempadan dinasihatkan untuk mendaftar keberadaan mereka dengan Perwakilan Diplomatik Malaysia terdekat dan menangguhkan sebarang perjalanan yang tidak penting," kata kenyataan itu.