fb fb fb fb fb

Malaysia gesa negara kuasa besar pastikan keamanan serantau - Wisma Putra

Foto FB Menteri

KUALA LUMPUR, 16 Julai- ASEAN harus mengambil pendirian mengutuk sekerasnya serangan udara dan pembunuhan dilaporkan di Myanmar yang dilihat semakin membimbangkan.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir telah mengusulkan supaya kenyataan yang lebih keras mengenai isu berkenaan dimasukkan dalam Kenyataan Bersama Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN Ke-56.

Usaha menangani situasi di Myanmar tidak seharusnya dilaksanakan secara sepihak (unilateral), sebaliknya perlu berlandaskan Five-Point Consensus (5PC), menerusi penyelarasan dengan Pengerusi ASEAN dan dipersetujui ASEAN.

Beliau menekankan, sebarang libat urus yang diadakan dengan pihak Myanmar tidak harus membawa maksud bahawa ASEAN mengiktiraf keabsahan pihak berkuasa Myanmar.


(Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir/Foto FB Menteri)

Sementara itu, mesyuarat tersebut turut memberi perhatian berhubung situasi di Palestin.

Dr. Zambry telah menyeru kepada rakan luar ASEAN terutama kuasa besar, supaya konflik di Palestin diberikan perhatian yang sama seperti konflik lain yang sedang berlaku di dunia.

Tambahnya, negara mahu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa menuntut rejim Israel untuk menghentikan kekejaman terhadap penduduk Palestin.

Dalam isu Islamofobia, beliau menyampaikan kebimbangan Malaysia terhadap ketidakpekaan dan cubaan menghasut kebencian seperti tindakan membakar naskhah Al-Quran di beberapa negara.

Beliau turut menggesa negara-negara bersenjata nuklear segera menandatangani dan meratifikasi Protokol kepada Triti Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).

Menurutnya, China telah menyatakan kesediaan untuk menandatangani dan meratifikasi protokol SEANWFZ tanpa pengecualian.

Negara-negara bersenjata nuklear seperti United Kingdom, Rusia dan Amerika Syarikat telah menyatakan kesediaan mereka untuk berbincang dengan ASEAN berhubung perkara itu.

Beliau turut mengutuk sekeras-kerasnya pelancaran peluru berpandu oleh Korea Utara yang berulang kali termasuk pada Rabu hingga mengancam keamanan antarabangsa serta menggesa program nuklear dan peluru berpandunya dihentikan serta-merta.

Mengenai isu Laut China Selatan, Zambry menyatakan isu-isu berkenaan perlu ditangani secara damai dan rasional menerusi dialog dan rundingan menggunakan saluran diplomatik.

Beliau kecewa apabila pendirian ASEAN mengenai isu Laut China Selatan tidak diambil kira oleh Mesyuarat Menteri-menteri Pergerakan Negara-negara Berkecuali di Azerbaijan baru-baru ini.


(Foto FB Menteri)

Mengenai minyak kelapa sawit pula, Zambry memaklumkan mesyuarat mengenai pembentukkan pasukan petugas bersama Malaysia, Indonesia dan Kesatuan Eropah (EU) bagi mengkaji dan mencari penyelesaian yang saling menguntungkan.

Beliau menzahirkan kebimbangan Malaysia mengenai impak daripada Peraturan Penyahhutanan EU (EU Deforestation Regulation-EUDR) ke atas sektor komoditi terutamanya minyak sawit dan pekebun-pekebun kecil dari negara-negara pengeluar ASEAN.

Pada mesyuarat kali ini, Zambry mengadakan 11 pertemuan dengan rakan-rakan sejawat dari Singapura, Arab Saudi, India, Timor-Leste, Jepun, Norway, Kanada, United Kingdom, Bangladesh, Mongolia dan Amerika Syarikat untuk membincangkan isu-isu dua hala membabitkan ekonomi dan sosio-budaya.

Beliau berkata kehadiran rakan dialog adalah manifestasi kepada keupayaan ASEAN sebagai ‘convening power’ yang berupaya membawa kuasa-kuasa dunia dan serantau ke meja rundingan.

Rakan-rakan dialog ASEAN adalah Amerika Syarikat, Australia, China, India, Jepun, Kanada, Kesatuan Eropah, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan United Kingdom.

Zambry berkata pendirian Malaysia pada mesyuarat kali ini berlandaskan dasar ‘Masyarakat Madani’ selaras usaha kerajaan menterjemahkan nilai-nilai Madani di dalam pembinaan Komuniti ASEAN.

“Malaysia, yang akan mempengerusikan ASEAN 2025 akan terus mengekalkan momentum yang positif ini dan memastikan bahawa suara Malaysia terus lantang di persada antarabangsa,” katanya.

Media Baharu