fb fb fb fb fb

Program Fast Track bantu pelajar tahfiz peroleh SPM

SEREMBAN, 15 Julai- Misi pendidikan kerajaan Negeri Sembilan, melestarikan sistem pendidikan berkualiti bagi membangunkan potensi individu dalam memenuhi aspirasi negara terus membuahkan hasil.

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, objektif misi itu ialah melahirkan insan beriman, berakhlak mulia, berilmu, berketerampilan dan sejahtera serta memberi peluang pendidikan kepada semua warga Malaysia, termasuk pelajar tahfiz.

Katanya, pada tahun pertama kerajaan negeri memperkenalkan Program Fast Track Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) aliran Sains kepada pelajar tahfiz pada 2021, kesemua pelajar yang mengikuti program tersebut berjaya memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia.

Malahan ada dalam kalangan mereka memperoleh keputusan cemerlang 7A.

"Seterusnya pada tahun 2022 semua pelajar Fast Track layak mendapat sijil SPM.

"Seramai lima pelajar memperoleh 8A, tiga pelajar memperoleh 7A, dua pelajar memperoleh 5A dan empat pelajar memperoleh 4A. Tidak lupa juga ucapan syabas dan tahniah kepada pelajar Maahad Tahfiz Maahad Tahfiz As Sa'idiyyah yang telah memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM baru-baru ini," kata Aminuddin ketika berucap demikian di Majlis Anugerah Kecemerlangan al-Quran dan SPM Maahad Tahfiz As-Sa'idiyyah Tahun 2022, di sini.

(Datuk Seri Aminuddin berkata Program Fast Track bantu pelajar tahfiz peroleh SPM)

Pelajar yang ditemui melahirkan rasa syukur dan gembira dengan keputusan cemerlang yang diperoleh.

Mereka juga merakamkan penghargaan kepada kerajaan Negeri Sembilan yang memperkenalkan Program Fast Track SPM aliran Sains kepada pelajar tahfiz.

"Memberi peluang kepada tahfiz yang sebelum ni belajar 30 juzuk al-Quran kemudian diberi peluang untuk ambil SPM dalam masa sama mereka juga belajar akademik buat kali pertama. Ada yang mungkin kali terakhir belajar akademik darjah enam atau tingkatan satu," kata Pelajar Cemerlang, Kahirulnizam Mohamad Sabri.

"Itu satu inisiatif yang baik sebab kadang-kadang budak tahfiz ini mereka tidak terfikir apa yang perlu dilakukan untuk bantu kita capai apa yang kita hendak dalam kehidupan," luah seorang lagi Pelajar Cemerlang, Muhammad Atif Ubaidi Mohd Khairil Anuar.

"Saya rasa bersyukur sebab kerajaan Negeri Sembilan buka peluang yang luas untuk pelajar-pelajar khususnya pelajar lepasan tahfiz. Masyarakat kata budak lepasan tahfiz tiada peluang dan sebagainya tapi kerajaan Negeri Sembilan laksana satu inisiatif untuk bantu mengetengahkan pelajar macam ini. Tunjuk mereka pun boleh berjaya juga," kata Pelajar Cemerlang, Nur Izzati Mohd Hamdan.

Media Baharu