fb fb fb fb fb

Malaysia fail saman isu tuntutan kumpulan mengaku waris Sulu

KUALA LUMPUR, 30 Jun - Malaysia bertindak ofensif dan tidak menolak kemungkinan untuk menyaman kumpulan mengaku waris kesultanan Sulu susulan kerugian yang dihadapi negara berikutan tindakan undang-undang yang dikemukakan mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kerajaan akan mengkaji untuk mengambil tindakan saman memandangkan kos yang ditanggung oleh Malaysia adalah sangat tinggi.

(Datuk Seri Azalina Othman Said)

"Itu sebabnya saya sudah arahkan Jabatan Peguam Negara untuk berkomunikasi dengan syarikat ini mengarahkan peguam kita di United Kingdom (UK) untuk menulis kepada mereka secara rasmi. Jadi bila kita dapati tuntutan ini ada unsur penipuan kita akan buat tindakan undang-undang.

"Kami juga telah memberikan arahan baru kalau kita tengok daripada punca perhubungan itu, kalau perhubungan itu dalam gerakan penipuan, kami akan buat tindakan di bidang kuasa ofensif sama ada di Amerika Syarikat (US) atau di UK," katanya pada sidang media berkaitan perkembangan kes tuntutan Kumpulan Sulu di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia, di sini.

Pada Februari lalu, Datuk Seri Azalina dilaporkan berkata kerajaan membelanjakan RM31 juta bagi kos perundangan terhadap tuntutan lapan individu yang mengaku sebagai waris Kesultanan Sulu untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah Sabah, dalam tempoh empat tahun.

Kos itu termasuk bayaran perkhidmatan peguam antarabangsa, prosiding mahkamah, terjemahan, penyelidikan sejarah dan perundangan yang bermula dari 20 November 2019 hingga 20 Januari 2023.

Beliau turut memaklumkan, tuntutan Kumpulan Sulu untuk mendapatkan AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia melalui proses timbang tara, boleh disifatkan sebagai ‘satu bentuk peperangan baharu’.

Tuntutan itu adalah satu serangan yang sofistikated dan kerajaan memberi jaminan akan melakukan gerakan secara agresif untuk ‘mematikannya’.

Media Baharu