KUCHING, 30 Jun - Cadangan untuk mengklasifikasikan perdagangan karbon di bawah bidang kuasa Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) masih dalam perbincangan di peringkat kementerian serta kabinet.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata buat masa ini, segala isu berkaitan dengan karbon berada di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

"Sekarang ini kerajaan sedang berbincang sama ada mungkin kita dapat pisahkan usaha penyimpanan karbon dan 'carbon trading' untuk diletakkan di bawah KPK.
"Ini juga selari dengan ketetapan diputuskan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bahawa karbon adalah satu komoditi, jadi ini sedang diperincikan. Sekiranya ia dapat dimuktamadkan maka kita akan ikut apa yang dicadangkan oleh Premier," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ibadah korban, di sini.
Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata usaha meletakkan perniagaan karbon di bawah KPK juga dijangka akan mengambil sedikit masa kerana melibatkan perubahan kementerian.
"Di peringkat Kerajaan Persekutuan juga kita sedang membincangkan untuk mewujudkan satu perundangan khusus berhubung perniagaan karbon," katanya.