fb fb fb fb fb

Malaysia dipilih semula sebagai ahli IMO, catat kemenangan bagi penggal ke-10 berturut-turut

Malaysia menduduki tangga ke–10 daripada 20 kerusi dengan jumlah undian sebanyak 134 daripada keseluruhan 166 undian yang sah

LONDON, 2 November - Malaysia berjaya dipilih semula sebagai ahli Majlis Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) Kategori C untuk penggal 2024-2025, sekali gus mencatatkan kemenangan bagi penggal ke-10 berturut-turut.

Malaysia menduduki tangga ke–10 daripada 20 kerusi dengan jumlah undian sebanyak 134 daripada keseluruhan 166 undian yang sah.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang mengetuai delegasi Malaysia menganggap kemenangan itu sebagai pengiktirafan IMO terhadap penglibatan, sumbangan dan kepentingan Malaysia di dalam sektor maritim antarabangsa.

Katanya, ia hasil usaha sama yang jitu di antara Kementerian Pengangkutan, Kementerian Luar Negeri, Jabatan Laut Malaysia, lembaga-lembaga pelabuhan serta wakil-wakil industri dan persatuan berkaitan maritim.

"Sudah tentu ini memberikan ruang kepada kita untuk terus memainkan peranan dalam dunia perkapalan dimana kita ada wakil kita yang akan duduk dalam majlis IMO yang merangka dasar-dasar dan juga peraturan-peraturan antarabangsa," katanya.

Tambah Loke, kementerian turut akan mengenal pasti negara-negara ahli IMO untuk perkongsian kepakaran bersama-sama Malaysia.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN