fb fb fb fb fb

Malaysia di tangga ke-3 dengan jumlah bahasa tertinggi di Asia Tenggara 

Malaysia menduduki tangga ketiga dengan memiliki 144 bahasa yang tertinggi dipertuturkan dalam kalangan masyarakat di Asia Tenggara

KUALA LUMPUR, 19 April - Malaysia menduduki tangga ketiga dengan memiliki 144 bahasa yang tertinggi dipertuturkan dalam kalangan masyarakat di Asia Tenggara.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi hantaran di Facebook berkata, ia berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Ethnologue pada 2019 dengan Indonesia menduduki tangga pertama dan kedua di seluruh dunia dengan mempunyai jumlah bahasa sebanyak 710 dan diikuti Filipina dengan 191 bahasa.

"Di Malaysia, penggunaan bahasa tertinggi adalah Bahasa Melayu (Bahasa Kebangsaan) yang mana setiap negeri, daerah dan masyarakat mempunyai loghat atau dialek berbeza yang turut dikira dalam data ini diikuti Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil.

"Terdapat juga bahasa yang khusus dalam masyarakat tertentu seperti di Sabah dan Sarawak yang turut digunakan secara meluas di sesebuah kawasan itu," katanya.

Bagaimanapun, KPT berkata terdapat juga beberapa bahasa yang diambang kepupusan dan telah pupus susulan tiada lagi penuturnya yang masih wujud dalam masyarakat.

Pada November tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah berkata jika Malaysia mahu diangkat lebih maju dari segi ekonomi, maka bahasa Melayu mesti menjadi bahasa ilmu, bahasa utama dan dikuasai dengan baik oleh semua rakyat Malaysia termasuk di sekolah swasta dan antarabangsa.

Anwar menegaskan bahawa setiap anak kelahiran Malaysia itu wajib menguasai bahasa Melayu dengan baik.

 

GRACE AISYAH KEDAYAN