fb fb fb fb fb

Malaysia dan Sweden, setuju teruskan usaha bersama perangi Islamophobia

KUALA LUMPUR, 4 Februari - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Duta Sweden ke Malaysia, Dr Joachim Bergstrom bersetuju untuk bersama memerangi isu Islamophobia dan apa jua bentuk diskriminasi lain.

Menerusi satu kenyataan, Datuk Dr Na'im menjelaskan, perkara tersebut telah dipersetujui ketika Duta Sweden itu membuat kunjungan hormat susulan perbuatan membakar Al-Quran di Stockholm baru-baru ini.


(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar / Foto FB Dato' Setia Dr. Na'im)

Dalam pertemuan itu juga, perbincangan tertumpu kepada langkah-langkah yang perlu diambil bagi meneroka pelbagai cara untuk bekerjasama secara bertoleransi, aman dan damai.

Datuk Na'im menegaskan, kebebasan bersuara bukan bermakna kebebasan untuk menghina prinsip dan kehormatan sesuatu agama.

Dr Joachim turut mengulangi pendirian berkenaan kedudukan kerajaan Sweden berhubung provokasi Islamophobia dan perbuatan membakar al-Quran itu adalah keterlaluan dan tidak menghormati agama Islam.

Selain itu, kerajaan Sweden akan berganding bahu di peringkat dalam negara dan antarabangsa bagi menganjurkan dialog antara agama serta keamanan pelbagai kaum dalam mengukuhkan demokrasi.

Media Baharu