Malaysia dan Arab Saudi kerjasama kesan Nadia Kesuma

Nadia Kesuma dilaporkan hilang di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja
Abdul Aziz, Jeddah. Foto/ Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah.

KUALA LUMPUR, 17 Januari – Kementerian Luar yakin pihak berkuasa Arab Saudi akan memberikan kerjasama penuh untuk mengesan pelakon Nadia Kesuma yang dilaporkan hilang di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah, pada 15 Januari lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian Luar yakin Arab Saudi akan memberi kerjasama penuh dalam usaha mengesan Nadia Kesuma.
  • Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah bekerjasama rapat dengan polis Arab Saudi untuk siasatan dan pencarian.
  • Orang ramai dan keluarga diminta bertenang sementara operasi pencarian diteruskan.
  • Ejen pelancongan ditegah dari melepaskan tanggungjawab dan diminta beri maklumat terperinci mengenai rombongan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerjasama erat antara pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah dengan pihak polis Arab Saudi akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi membantu siasatan dan operasi pencarian.

“Kita cuba yang terbaik dan yakin pihak berkuasa, terutamanya polis Arab Saudi akan membantu dengan baik kerana mereka mempunyai kecekapan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Datuk Seri Mohamad turut menasihatkan keluarga mangsa bertenang sementara usaha pencarian diteruskan, memandangkan pergerakan jemaah yang ramai terutama bagi perjalanan ke Mekah.

“Kita mesti percaya akan kecekapan mereka (polis) dan minta supaya pihak keluarga bertenang, kita berusaha sebaik mungkin,” katanya.

Beliau dalam pada itu menegaskan ejen pelancongan yang menguruskan perjalanan artis tersebut untuk tidak lepas tangan dan perlu bertanggungjawab sepenuhnya, termasuk menyalurkan maklumat terperinci mengenai rombongan itu.