fb fb fb fb fb

Malaysia cadang wujud wilayah ekonomi serantau Johor-Singapura

ISKANDAR PUTERI, 28 Mei - Malaysia bercadang untuk mewujudkan wilayah ekonomi serantau antara Johor dan Singapura dalam usaha mengukuhkan potensi ekonomi negeri tersebut.

Menurut Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, sudah ada cadangan awal daripada pihak kerajaan negeri, kerajaan persekutuan dan kerajaan Singapura, menerusi pertemuan berkala ketiga-tiga pihak, namun belum lagi diangkat sebagai cadangan rasmi.

“Sekarang saya rasa masa sesuai untuk bawa idea dan perbincangan itu dan mulakan (perbincangan) untuk melakukannya secara formal,” kata beliau, di sini.

Bagaimanapun, beliau berkata cadangan itu akan diangkatkan pada mesyuarat kabinet terlebih dahulu sebelum dibawa ke Mesyuarat Tahunan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura untuk Iskandar Malaysia (JMCIM) yang dijangka diadakan pertengahan Julai ini.

Terlebih dahulu, pada sesi dialog libat urus, Rafizi dalam ucapannya berkata Johor akan terus menjadi antara pemacu ekonomi negara terbesar pada masa hadapan, susulan potensi dan kedudukan strategiknya di rantau ini.

Dalam ucapannya, beliau berkata negara memberi fokus kepada sektor peralihan tenaga, Johor adalah berpotensi menjadi penerima manfaat terbesar terutama dengan kedudukannya bersebelahan Singapura

(Rafizi bercakap kepada pemberita selepas menghadiri sesi libat urus kajian separuh penggal
Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, di sini)

"Johor akan jadi salah satu negeri yang paling berpotensi mendapat laba daripada projek aktiviti peralihan tenaga melibatkan tenaga boleh baharu. Dalam pada itu, Pengerang bukan sahaja dijadikan pusat kimia dan petrokimia tetapi juga perintis kepada tenaga ammonia dan hidrogen," katanya.

Dalam pada itu Rafizi berkata, kerajaan belum bercadang untuk menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi negara tahun ini susulan penyusutan mata wang ringgit dua minggu kebelakangan ini.

Jelasnya, kerajaan akan terus memantau perkembangan mata wang tempatan itu.

Beliau berkata penyusutan nilai ringgit dua minggu ini disifatkan banyak dipengaruhi oleh hasil perbincangan mengenai had siling hutang Amerika Syarikat (AS) sekali gus mempengaruhi sentimen pasaran.

“Setakat ini terlalu awal untuk menetapkan bahawa kejatuhan mata wang ringgit untuk satu dua minggu ini akan ada kesan kepada projection (unjuran pertumbuhan ekonomi).

“Kita perlu menunggu data-data perdagangan dan ekonomi dalam bulan hadapan, dua bulan lagi kerana yang mempengaruhi unjuran pertumbuhan itu bukan sangat melibatkan kadar nilai ringgit tetapi lebih kepada aktiviti perdagangan (seperti) eksport, import, harga minyak dan sebagainya,” katanya kepada pemberita di sini.

Tambahnya, terlalu awal untuk menetapkan bahawa kejatuhan mata wang ringgit untuk satu dua minggu ini akan ada kesan kepada unjuran pertumbuhan ekonomi.

Bagaimanapun, beliau berkata situasi nilai ringgit sekarang juga turut membawa kebaikan, contohnya pendapatan negara dan juga sektor minyak memandangkan penentuan harga adalah dalam nilai dolar Amerika.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan perkembangan terkini yang menyaksikan penyusutan mata wang tempatan.

Pada tahun ini, kerajaan mengunjurkan pertumbuhan ekonomi pada kadar empat hingga lima peratus

Media Baharu