Malaysia bukan ‘bidak catur’ mana-mana pihak

Pendekatan Malaysia sebagai sebuah negara neutral yang terbuka 

DOHA, 7 November – Malaysia akan terus mengamalkan dasar berkecuali dalam hubungan antarabangsa termasuk menjalinkan hubungan perdagangan dan persahabatan dengan mana-mana negara, tanpa menjadi ‘bidak catur’ kepada mana-mana pihak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menteri Fahmi bertemu diaspora Malaysia di Doha melalui majlis makan tengah hari, mengukuhkan hubungan dengan komuniti Malaysia di Qatar.
  • Beliau merasmikan pertandingan boling SUQMA 2026 sebagai sokongan kepada acara sukan komuniti Malaysia di Qatar.
  • Fahmi mengetuai delegasi Malaysia ke ITU PP-26, mengadakan libat urus dengan MNO dan mempertahankan kerusi Majlis ITU 2027-2030.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pendirian itu mencerminkan pendekatan Malaysia sebagai sebuah negara neutral yang terbuka.

“Malaysia sebuah negara berkecuali. Kita akan berdagang dengan mana-mana negara yang mahu berdagang dengan kita dan berkawan dengan sesiapa sahaja yang mahu berkawan dengan kita. Kita tidak akan menjadi bidak catur kepada mana-mana pihak,”katanya ketika berucap pada majlis makan tengah hari bersama diaspora Malaysia, di sini.

Agenda lawatan kerja Datuk Seri Fahmi di Qatar (hari ini) turut merangkumi pertemuan bersama diaspora Malaysia menerusi majlis makan tengah hari yang menghimpunkan wakil Malaysia Association in Qatar (MAQ), Malaysian Business Executive Council-Qatar (MBEC), komuniti serta persatuan pelajar Malaysia di negara berkenaan.

Pertemuan itu menjadi platform interaksi beliau selaku Jurucakap Kerajaan MADANI, dengan rakyat Malaysia yang menetap, bekerja, menjalankan perniagaan dan melanjutkan pengajian di Qatar.

Beliau turut menghadiri perasmian pertandingan boling bersempena Sukan Malaysia di Qatar (SUQMA) 2026.

Pada sebelah petang, Datuk Seri Fahmi dijadual mengadakan sesi libat urus bersama wakil pengendali rangkaian mudah alih (MNO) serta mesyuarat pra-majlis bersama delegasi Malaysia sebagai persediaan menghadapi Persidangan Plenipotensiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa 2026 (ITU PP-26).

Beliau diiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Mano Verabathran, manakala delegasi Malaysia turut disertai wakil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta syarikat telekomunikasi tempatan, termasuk Telekom Malaysia (TM), CelcomDigi, Maxis dan U Mobile.

Datuk Seri Fahmi mengetuai delegasi Malaysia ke ITU PP-26 yang berlangsung dari 6 hingga 11 November ini, dengan misi mempertahankan kerusi Majlis ITU bagi penggal 2027 hingga 2030.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.