KUALA LUMPUR, 10 Februari- Malaysia dan Brazil menyatakan komitmen untuk menjalin kerjasama bagi mempromosi serta melindungi kepentingan negara membangun khususnya dalam membasmi kemiskinan dan kebuluran kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran di facebook.
Perkara itu dicapai selepas Anwar berinteraksi dengan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva melalui perbualan telefon semalam.
Kedua-dua pemimpin itu juga senada dan sepakat untuk meningkatkan hubungan dua hala Malaysia-Brazil khususnya dalam bidang pengurusan hutan, sektor tenaga hijau, perubahan iklim, industri halal, sains serta inovasi.
"Saya turut mengambil peluang ini dengan mewakili rakyat Malaysia bagi mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Presiden Lula atas sokongan tegas Brazil kepada Palestin.
"Saya juga menerima undangan Presiden Lula bagi mengadakan lawatan rasmi ke Brazil pada November nanti," katanya dalam hantaran itu hari ini.
Anwar juga berharap hubungan Malaysia dan Brazil akan terus diperkukuh demi manfaat bersama.