BANGI, 1 Julai - Malaysia dilihat sebagai negara yang bijak untuk berunding mengenai tarif dengan Amerika Syarikat, menjelang fasa akhir tempoh penangguhan 90 hari.
Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, Malaysia mengambil pendekatan proaktif dan terbuka dalam rundingan tersebut.
“Kita mendengar, kita timbang dan kita bincang. Ada desakan dari Amerika Syarikat yang wajar kita pertimbangkan. Saya percaya Malaysia mampu melalui episod tarif yang sedang diperkenalkan oleh Amerika Syarikat dengan baik,” kata Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan.
Beliau berkata demikian selepas program Bicara Persada bertajuk "Perang Israel–Iran: Implikasi ke atas Malaysia dan Orde Baharu Dunia" di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini.
Langkah kerajaan untuk mempelbagaikan destinasi serta rakan dagang adalah strategi yang wajar diteruskan, terutama dalam persekitaran ekonomi global yang tidak menentu.
Menurut beliau, terdapat banyak zon ekonomi dunia yang belum diterokai Malaysia secara menyeluruh, termasuk wilayah Asia Barat yang kini muncul sebagai pusat ekonomi penting dunia.
“Kita masih terlalu bergantung kepada pasaran tradisional seperti Amerika Syarikat, China, Singapura dan negara-negara Asia Tenggara. Justeru, kita perlu memperluaskan kehadiran dagangan ke Asia Barat, rantau Teluk dan Benua Afrika yang semakin pesat membangun.
"Begitu juga dengan pasaran Amerika Latin termasuk Brazil, Argentina, Costa Rica dan Panama yang belum diterokai," jelas Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan.
Keperluan untuk mempergiat rundingan perdagangan bebas perlu diberi keutamaan agar Malaysia tidak ketinggalan dalam persaingan global.
Mengulas lanjut tentang lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke beberapa negara utama dunia termasuk Itali, Perancis dan Brazil, beliau optimis ia mampu membuka lebih banyak pasaran baharu serta memperluas akses perdagangan luar negara.