KUALA LUMPUR, 1 Julai – Kerajaan akan terus berusaha sedaya upaya dalam kapasiti yang ada untuk memartabatkan kedudukan Islam selaras dengan kerangka Perlembagaan Persekutuan dan semangat Malaysia MADANI, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam satu hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata, Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) berperanan sebagai platform penting yang menyatukan kerjasama antara institusi Raja dan kerajaan dalam penyelarasan hal ehwal Islam di negara ini.
Datuk Seri Anwar yang juga Timbalan Pengerusi MKI menegaskan, mesyuarat itu memainkan peranan utama khususnya dalam memperkasa pembangunan insan berlandaskan prinsip ihsan, adab dan ilmu, demi menjulang Karamah Insaniah atau martabat kemanusiaan yang mulia.
Terdahulu, Perdana Menteri menghadiri Mesyuarat MKI ke-73 yang dipengerusikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, hari ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, wakil-wakil negeri yang dilantik, pemimpin tertinggi kerajaan serta ahli-ahli MKI yang dipilih berdasarkan kepakaran masing-masing.