fb fb fb fb fb

Malaysia bertegas, henti perdagangan langsung dengan Israel - PM

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Ogos- Malaysia mengulangi pendiriannya untuk menghentikan segala bentuk perdagangan langsung dengan Israel.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia juga perlu menggunakan kebijaksanaan had untuk membangun kekuatan dalaman negara dan bukannya menentang secara semberono.

Menurutnya, pendirian Malaysia itu juga disuarakan secara berterusan dengan lantang di peringkat antarabangsa.

"Kita harus sepakat dalam satu suara kerana ini isu pembunuhan yang kejam, yang belum pernah berlaku dalam dunia mutakhir ini, hanya ke atas penduduk Palestin dan Gaza. Suara harus satu. Sebagai kerajaan dan Perdana Menteri, saya tahu risikonya."

"Saya tahu faktor keselamatannya kepada negara. Kita perlu atur langkah dengan bijaksana supaya selamat dan tidak korbankan kepentingan negara," kata Anwar dalam ucaptamanya pada Program Muktamar Masjid Semalaysia untuk Al-Aqsa dan Palestin di Masjid Wilayah Persekutuan di ibu negara.

Perdana Menteri tiba di perkarangan Masjid Negara pada pukul 9.00 pagi diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar dan tetamu kehormat yang lain.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin imam besar Masjid Negara, Tuan Hj Ehsan Mohd Hosni dan turut dihadiri hampir 600 jemaah yang terdiri daripada kalangan duta asing dan orang awam.

Sementara itu, Malaysia akan mempertimbangkan keperluan untuk menambah bantuan kepada mereka yang cedera ekoran konflik Israel-Palestin yang berterusan sehingga kini.

Datuk Seri Anwar berkata, setakat ini tumpuan diberi kepada usaha merawat bagi memastikan pemulihan mangsa yang cedera terlebih dahulu.

"Setakat ini, tidak ada perkembangan sebabnya fasa pertama kita maklum bawa untuk berubat. Yang mana baik, kita akan hantar balik bila keadaan tenang dan aman sekejap."

"Kemudian, kita runding dengan Mesir untuk menampun Emiriah Arab Bersatu (UAE), Turkiye dan Qatar. Jadi, kita lihat kalau ada keperluan kita boleh bincang. Setakat ini, kita nak rawat bagi mereka sihat dulu," kata Anwar.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM