fb fb fb fb fb

Mangsa terjejas banjir di Perak berkurangan

Foto RTM

IPOH, 25 Ogos-Bilangan mangsa terjejas banjir di Perak menunjukkan penurunan kepada 173 orang daripada 49 keluarga setakat pukul 10 pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan memaklumkan, tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih dibuka melibatkan dua daerah iaitu di Muallim serta Larut Matang dan Selama.

Kenyataan itu turut menyebut 100 penduduk daripada 27 keluarga masih ditempatkan di PPS Masjid Jamek Kampung Pasir manakala 47 penduduk daripada 14 keluarga masih ditempatkan di PPS Masjid Jamek Slim Village.

Seramai 26 mangsa daripada lapan keluarga dari Kampung Tebuk turut ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Matang di daerah Larut, Matang dan Selama.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan kebanyakan daerah di Perak antaranya Larut, Matang dan Selama, Kerian, Manjung, Perak Tengah, Hilir Perak, Bagan Datuk serta Kuala Kangsar mengalami hujan pagi ini.

Selain itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak memaklumkan laluan A121 Jalan Slim River-Behrang Ulu di daerah Muallim masih ditutup akibat jalan utama runtuh manakala FT 004 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Kupang Gerik-Jeli kekal dibuka satu lorong disebabkan tanah runtuh.

"Laluan di FT 1152 Felda Trolak Selatan di daerah Batang Padang turut dibuka satu lorong kepada semua kenderaan disebabkan berlaku runtuhan di bahu jalan berkenaan," menurut JKR.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD